Friday, 13 February 2009

Mendengar Menguntungkan Bahagian 2

Sebelum Pak Ngah bercerita mengenai Bahagian 2 ni, Pak Ngah sambung sikit lagi cerita Bahagian 1 dulu tu. Bila Pak Ngah sampai ke rumah dengan telur-telur ayam pemberian taukey telur tu, Mak Ngah bertanya di mana Pak Ngah beli telur-telur tu. Pak Ngah jawab dengan jujur.

"Telur ini abang dapat percuma dari seorang taukey telur di padang golf"

Jawapan pelik (walaupun jujur) seperti ini hanya mengundang kesangsian kepada pendengarnya. Susah juga nak meyakinkan dia. Betul ke kata orang, kaum wanita lebih percaya kepada cerita rekaan daripada fakta yang benar dan jujur? Mungkin kot. Tetapi yang nyata orang sukar untuk percaya bahawa mendengar sangat menguntungkan.

OK sekarang kita terus ke Bahagian 2. Beberapa tahun dahulu Pak Ngah pernah memberi ceramah kepada sekumpulan pegawai JAKIM bertajuk "KEMAHIRAN KOMUNIKASI". Semasa Pak Ngah menerangkan pentingnya menjadi seorang pendengar yang baik dengan kisah Pak Ngah di padang golf tu, seorang ustaz mengangkat tangan dan mahu berkongsi cerita. Ini dia ceritanya.

Seorang remaja Melayu berumur 17 tahun dari Kg Datok Keramat, Kuala Lumpur telah dimasukkan ke wad hospital kerana sakit. Dia ditempatkan disebelah katil seorang lelaki tua keturunan Cina yang telah lama berada di hospital itu. Lelaki tua ini sangat kesunyian kerana anak-anaknya jarang menziarahinya. Kalau mereka datang pun kunjungan mereka hanya mengambil masa yang sangat singkat, hanya beberapa minit. Dia seorang yang banyak harta, tetapi tidak menikmati kebahagian dalam hidupnya. Isterinya telah meninggal dunia dan dia tidak ditemani oleh sesiapa di dalam hospital itu.

Ada satu keistimewaan pada diri remaja dari Kg Datok Keramat ini. Dia peramah, suka mendengar orang bercerita dan empatik. Dia menyapa orang tua itu dan banyak bertanya soalan. Dia mendengar orang tua itu bercakap, dia memparafrasa dan dia mendengar lagi.

Orang tua yang kesunyian itu merasa terhibur dengan kehadiran remaja Melayu itu. Dia bukan dihiburkan oleh remaja itu tetapi menghibur dirinya sendiri kerana dapat meluahkan perasaannya kepada remaja itu. Manusia amat perlu berkomunikasi seperti mana manusia perlu makan dan minum.

Hubungan mereka bertambah akrab setiap hari. Jadi seperti bapa dengan anak. Selepas tiga minggu, remaja itu pulih dari penyakitnya dan dibenarkan pulang. Tinggallah orang tua itu seorang diri semula.

Tetapi walaupun telah meninggalkan wad hospital, remaja itu kerap datang menziarahi orang tua itu. Kadang-kadang dia membawa buah tangan. Remaja itu seorang yang empatik. Dia memahami perasaan dan kesunyian orang tua itu.

Pada suatu hari, remaja itu datang menziarahi orang tua itu tetapi katilnya kosong. Dia bertanya dengan jururawat ke mana perginya orang tua itu. Jururawat menjelaskan bahawa orang tua itu sudah meninggal dunia pada sebelah paginya. Remaja itu menangis.

Selang beberapa bulan, remaja itu telah menerima sepucuk surat daripada sebuah pejabat peguam. Surat itu meminta dia hadir ke pejabat dengan segera. Maka dia terus pergi menemui peguam itu dengan bapanya.

Sampai di sana, peguam menerangkan bahawa dia mewakili mendiang orang tua keturunan Cina yang pernah duduk bersebelahan dengan remaja itu semasa di wad hospital dulu. Dia terus membacakan wasiat.

Kandungan wasiat itu menyatakan bahawa semua hartnya diserahkannya kepada remaja itu. Tidak ada satu sen pun diberikan kepada anaknya sendiri.

MasyaAllah. Kisah ini kisah benar. Tak tau lah Pak Ngah kalau ustaz tu buat cerita rekaan. Kalau dia menipu maka menipulah Pak Ngah. Tetapi apa sebenarnya moral cerita ni ya?

ORANG TUA TIDAK MAHUKAN HARTA KITA. MEREKA HANYA MAHUKAN TELINGA KITA. KALAU KITA BERI MEREKA TELINGA KITA, MUNGKIN MEREKA AKAN BERIKAN HARTA MEREKA KEPADA KITA.

Manalah tau nanti, Pak Ngah pulak yang menerima surat daripada pejabat peguam meminta Pak Ngah datang mendengar wasiat yang berbunyi:

"AKU SERAHKAN SEMUA LADANG AYAM TELURKU KEPADA ..."

Hehehehehe. Mungkin! Siapa tahu. Mendengar memang menguntungkan. Jadi DENGARLAH!