Saturday, 24 January 2009

Mendengar Menguntungkan

Tajuk cerita hari ini ialah mengenai mendengar (listening).

Pada tahun 1994, di Kelab Golf Kuala Kubu Baru, Pak Ngah biasanya akan turun main golf pada jam 5.00 petang. Pada masa itu, setiap kali turun ke padang Pak Ngah akan nampak seorang lelaki tua keturunan Cina main golf seorang diri. Oleh kerana selalu ternampak dia bermain seorang, teringin juga Pak Ngah hendak tahu siapa orang tua itu dan mengapa dia suka main golf bersendirian.

Maka pada suatu petang ketika hendak turun padang, Pak Ngah ternampak dia seorang diri sedang bersedia untuk melakukan tee-off di tee-box No 1. Pak Ngah terus berkejar. Sambil mengah Pak Ngah menegurnya.

"Tauke, lu sorang saja kah? Boleh join sekali?"

"Aiya, lu mesti tak suka. Saya olang tua, jalan manyak slow" dia menjawab.

"Tak apa, tauke. Saya slow-slow pun OK"

"OK, lu tee-off dulu" dia membuat pelawaan tapi Pak Ngah menolak sebab dia lebih senior.

Driver yang di pakai olehnya ialah jenis kayu bukan metal wood. Bila dia mula membuat drive, Pak Ngah tergelak dalam hati. Pukulannya tak jauh cuma lebih kurang 100 meter dan teknik yang digunakan memang tidak ada dalam majalah golf. Tetapi yang bagusnya pukulannya lurus. Bukan macam pukulan yang Pak Ngah lakukan. Kononya sejauh 200 meter tapi masuk ke dalam longkang.

"O.B!" kata orang tua itu sambil senyum.

Pak Ngah dengan serius terus membuat pukulan kedua (sudah dikira 3 pukulan). Kali ini memang cantik tapi bak kata Greg Norman "Any fool can do it the second time".

Kami mula berjalan menuju ke bola masing-masing. Perjalanan menuju ke arah bola golfnya sangat perlahan kerana tauke itu melangkah separuh daripada langkah Pak Ngah. Maklumlah sudah tua. Rasa menyesal pulak bermain dengan dia. Tapi Pak Ngah bukan hendak bermain sangat cuma nak mengetahui siapa diri dia ni sebenarnya. Sambil berjalan ke fairway, Pak Ngah memulakan perbualan.

"Tauke, lu sudah berapa tahun main golf?"
"Ooh, saya start umur 45, itu macamlah"
"Sekarang berapa umur tauke? Tanya Pak Ngah lagi.
"72, sudah tua"
"Wah! 72 tahun pun kuat lagi aaa?"

Dia tersenyum bangga. Kemudian meneruskan ceritanya lagi.

"Saya main dulu pun sudah lambat tapi saya punya handicap manyak cepat turun jadi 13". Bangga lagi.

Rupa-rupanya orang tua ini bukan calang-calang pemain. Patutlah pukulannya tadi lurus. Dia bercerita tentang kejayaannya dalam permainan golf dengan muka yang berseri-seri. Mungkin dia teringat zaman keagungannya itu. Dia pernah menjuarai Kejohanan Medal Bulanan KGKKB beberapa kali sehingga handicapnya diturunkan dengan cepat ke 13.

Bila tiba ke posisi bolanya itu dia mengeluarkan wood 3 dan terus membelasah bola itu seperti slow motion. Pak Ngah senyum lagi tetapi senyuman itu jadi hambar apabila bolanya nyaris ON dekat green. Tak boleh jadi ni. Pak Ngah harus menjaga maruah Pak Ngah! Dengan menggunakan iron 9 Pak Ngah membelasah sekuat-kuat hati untuk memastikan bola itu ON atas green. Woosh! ... dan bola itu hanya berada 10 kaki di depan Pak Ngah kerana tercangkul tanah semasa memukul. Maluuuuu!

"Apa pasal?" tanya tauke.
"Pressure! Tauke banyak bagus main. Saya mau jaga standard. Sekarang tengok apa sudah jadi?"
"Perlahan-perlahan" dia memberi nasihat.

Bila menghampiri green, tauke itu mengeluarkan driver dari bag golfnya. Apa dia nak buat ni? Oooo... rupa-rupanya dia mahu putt bolanya dari tepi green itu. Memang banyak betul pengetahuan dan pengalamannya. Pak Ngah diam, hanya memerhatikannya saja.

"Aiyah!" jeritnya apabila bola itu nyaris masuk ke dalam lobang. Dia dapat par. Bola Pak Ngah apa cerita? Tak payah ceritalah!

Selepas dapat par di lubang pertama, tauke itu banyak bercerita dan itulah yang objektif Pak Ngah sebenarnya. Mendengar dia bercerita. Ceritanya disampaikan kepada Pak Ngah dalam bahasa pasar dan pelat orang Cina di Malaysia tapi di sini Pak Ngah sudah betulkan nahu dan sebutannya.

"Anak saya memang langsung tak minat main golf. Saya ada mengajarnya tapi dia berhenti sebab dia kata saya ni garang!"
"Berapa umur anak tauke?"
"36 tahun, sekarang dia buat perniagaan sendiri. Tak ada masa untuk golf" jelasnya.
"Tauke masih kerja?"
"Saya masih berniaga. Saya ada tiga buah ladang ayam telur"
"Wah! Bagus tu. Tauke, bagaimana kita nak tahu telur itu bagus atau tidak?"

Maka selepas itu dia tak berhenti-henti bercerita mengenai telur ayam.

Mungkin Pak Ngah dah jumpa password untuk dia buka mulutnya. Semua manusia ada password masing-masing. Kalau kita jumpa dan sebut password itu maka orang akan bercerita dan bercerita dan bercerita. Seronok mendengar tauke tu bercerita sebab pada masa yang sama dapat banyak ilmu mengenai telur ayam. Pak Ngah dah tahu beza telur ayam yang bagus dan tak bagus, yang mahal dengan yang murah.

Sambil dia bercerita permainan golf masih berjalan. Hari semakin gelap dah nak maghrib. Selalunya kalau Pak Ngah main golf seorang sendiri atau bersama orang lain yang lebih muda, permainan mungkin sudah ke lubang 7 atau lapan. Tetapi dengan tauke telur ini permainan baru nak masuk lubang no 3. Manyak slow maaa!

Selepas tee-off di lubang No 3 (signature hole), dia tak terdaya menaiki bukit dengan bag golf half set yang disandangnya. Jadi Pak Ngah meminta untuk membawanya walaupun bag Pak Ngah sudah cukup berat. Dia dapat par lagi. Pak Ngah ? Ah! Tak payah ceritalah.

Bila permainan tamat Pak Ngah terus membawa bag golfnya ke keretanya. Dia tidak terlarat memikulnya dan Pak Ngah pula mahu cepat pulang ke rumah. Setelah meletakkanya di boot keretanya, dia meminta Pak Ngah membuka pintu belakang keretanya. Pak Ngah buka dan nampak lima tingkat bekas telur yang berisi telur ayam.

"Itu telur lu angkat bawak balik" katanya serius.
"Berapa harga, tauke?"
"Tak apa, lu angkat free"
"Apa pasal, tauke?"
"Lu manyak suka telur"

"Bila pulaklah aku suka telur? Tapi orang dah nak bagi free ambik sajalah" Pak Ngah berkata dalam hati.

bersambung...