Monday, 10 November 2008

Empati Memang Berjangkit!

Kali ni aku nak tulis dalam Bahasa Malaysia.

Cerita hari ni ialah "Buat baik dan buat jahat adalah berjangkit". Kalau berani cuba buat eksperimen ini: Hari Jumaat nanti selepas solat Jumaat, cepat-cepat keluar masjid dan ambil sepasang selipar seseorang. Kemudian perhatikan dari jauh gelagat tuan punya selipar itu.

Ada banyak kemungkinan yang akan berlaku. Yang ini mungkin satu daripadanya.

Tuan punya selipar yang pertama akan rasa kecewa bila seliparnya hilang. Kemudian dia menyarung selipar orang lain dan beredar dari situ. Tuan punya selipar kedua juga akan rasa kecewa dan kemudian menyarung selipar orang yang ketiga. Begitulah seterusnya pada keempat, kelima, keenam dan silap-silap satu masjid jadi pencuri. Yang kesiannya ialah Pak Imam, balik berkaki ayam sebab dia orang terakhir keluar masjid. Jadi apa sebenarnya moral cerita ini? Buat jahat tu berjangkit!

Buat baik berjangkit tak? Memang berjangkit! Mari Pak Ngah ceritakan pengalaman pak Ngah 20 tahun yang lepas mengenai perbuatan baik (empati) seseorang yang berjangkit kepada Pak Ngah.

Ia berlaku pada tahun 1988, ketika Pak Ngah dalam perjalanan ke sekolah hendak pergi kerja. Pak Ngah naik motosikal Honda Cub C70 yang jarum indikator minyaknya sentiasa tegak. Minyak penuh pun ia tegak, kosong pun tegak. Rosaklah tu. Kalau minyak habis memang tak akan tahu.


Hari tu ialah hari Isnin, lebih kurang jam 7.10 pagi. Pak Ngah bekerja di Sekolah Seri Ampang dan tinggal di Selayang Pandang. Ketika melalui Jalan Kuching di bawah jambatan Jalan Duta tiba-tiba motorsikal Pak Ngah terhenti. Enjinnya mati. Selepas diperiksa, rupa-rupanya kehabisan minyak. Pak Ngah panik. Stesen minyak terdekat ialah 3 km iaitu di Sentul dekat dengan Balai Polis. Jalan pula sehala dan kalau nak patah balik ke Segambut tentu bahaya sebab kenderaan yang sangat banyak mengakibatkan jalan sesak, macet. Teringin juga hendak menahan kenderaan lain minta pertolongan tetapi pastinya akan menyusahkan orang sahaja. Jadi tidak ada pilihan lain selain menolak motosikal itu ke Sentul. Penunggang motosikal lain hanya melihat Pak Ngah dan nampaknya mereka tidak berminat mahu berhenti menawarkan bantuan.

Maka mulalah banyak soalan bermain di fikiran. "Tidak adakah orang yang sudi berhenti untuk tolong aku?". "Tidak adakah orang yang nak bertanya mengenai masalah aku ni?". Fikiran yang negatif.

Tetapi, Eh! MasyaAllah! Ada! Namanya Firdaus seperti yang tertera pada tag nama yang tersemat di saku bajunya. Manusia baik ini, seorang muda yang berkulit cerah, berhenti dan bertanya.

"Mengapa motor abang?"
"Minyak habislah, dik"
" Tak apa bang, biar saya tolong. Letak motor abang sebelah motor saya"

Di bawah tempat duduk motosikal Firdaus ada segelung paip getah (besar sikit daripada penyedut air botol). Dimasukkannya satu hujung paip itu ke dalam tangki minyaknya dan satu hujung lagi kedalam tangki motosikal Pak Ngah. Apa dia nak buat ni? Minyak tu tak akan mengalir begitu sahaja daripada tangkinya sebab paras kedua-dua tangki adalah sama. Setahu Pak Ngah minyak hanya akan mengalir dari tangki yang berada pada paras yang lebih tinggi kepada paras yang rendah. Tengok sajalah apa yang akan dibuatnya.

Rupa-rupanya dia sedang mengaplikasi satu konsep dalam fizik : Tekanan. Dengan menggunakan tangannya dia menutup sedikit lubang tangki motosikalnya dan kemudian menghembus sekuat-kuatnya ke dalam tangki itu supaya tekanan tinggi dalam tangki motosikalnya itu akan memaksa minyak keluar melalui paip getah terus ke tangki motosikal Pak Ngah. Genius!

Tetapi usaha itu perlu dia bayar dengan tenaga dan masa yang berharga. Dia berpeluh-peluh menghembus sekuat-kuat hatinya untuk mengeluarkan beberapa sentimeter padu minyak. Proses ini mencuri 20 minit daripada masanya. Pak Ngah yakin dia pasti akan lambat sampai ke pejabat pada hari itu hanya kerana menolong seseorang yang sedang kesusahan. Dahsyatnya dia!

Setelah yakin banyak minyak telah dipindahkan, Firdaus meminta Pak Ngah menghidupkan enjin. Apabila hidup, Firdaus terus meninggalkan Pak Ngah yang melopong tidak sempat mengucapkan terima kasih. Dalam keadaan hairan, Pak Ngah terfikir: Masih ada orang yang baik di Kuala Lumpur dan namanya ialah Firdaus.

Cerita ini tidak berakhir di situ sahaja. Pada malamnya Pak Ngah masih teringat lagi peristiwa pagi itu. Mengapa Firdaus berhenti menolong dan pada masa yang sama mengorbankan tenaga dan masanya untuk Pak Ngah? Pastinya Allah SWT mahu Pak Ngah memikirkannya.

Keesokan harinya selepas sekolah, Pak Ngah terus ke kedai hardware membeli paip getah serupa dengan yang digunakan oleh Firdaus. Perbuatan baik Firdaus telah berjangkit kepada Pak Ngah. Firdaus bukan sahaja memindahkan minyaknya ketangki motosikal Pak Ngah tetapi dia juga telah memindahkan sifat empati dirinya kepada Pak Ngah. Mungkin kerana Pak Ngah tak sempat membalas budi baik Firdaus maka Pak Ngah berpendapat satu cara untuk membalas budi baiknya itu ialah dengan membantu orang lain yang menghadapi masalah seperti yang pernah Pak Ngah alami.

Maka sejak perisitwa itu, sebelum bertolak ke mana-mana Pak Ngah akan pastikan bahawa C70 itu diisi sarat dengan minyak. Jika bertemu dengan sesiapa yang kehabisan minyak maka Pak Ngah akan membantunya seperti yang dilakukan oleh Firdaus. Empathy is contagious!

Tetapi niat baik ini tidak dapat dilaksanakan untuk selama beberapa bulan. Semasa menunggang C70 itu, Pak Ngah teringin betul terjumpa seseorang yang kehabisan minyak supaya boleh ditolong. Allah SWT belum mengizinkan Pak Ngah untuk jadi empatik dan membantu sesiapa pun pada masa itu. Keinginan menolong melonjak tetapi tiada siapa yang boleh ditolong!

Suatu hari peluang itu betul-betul muncul. Pada hari yang sama iaitu hari Isnin, pada waktu yang lebih kurang sama iaitu 7.10 pagi, di tempat yang sama iaitu di Jalan Kuching di bawah Jambatan Jalan Duta, Pak Ngah ternampak seorang lelaki sedang menolak motosikalnya.

Wah! Pak Ngah tak pernah rasa sangat gembira bertemu dengan orang yang bermasalah. Inilah masa yang ditunggu-tunggu. Aku mesti tolong orang ini.

Tetapi apabila menghampiri orang itu, Pak Ngah dapati bahawa dia ialah seorang lelaki Cina dalam lingkungan umur 40'an. Pada masa itu terlintas fikiran yang negatif dan bias. Syaitan berbisik di telinga Pak Ngah. "Yang tolong kau dulu tu orang Melayu, yang ini Cina. Tak payah tolonglah"

Terpengaruh juga dengan bisikan syaitan itu. Pak Ngah terus memecut melepasi lelaki Cina itu.

Tetapi ... "Eh! tunggu dulu. Hari ini hari Isnin, jam 7.10 pagi, di bawah jambatan yang sama! Tak mungkin coincidence ! Allah nak uji aku ni"

Dulu bukan main beria-ia nak menolong orang. Siap beli paip getah. Lepas tu tercari-cari orang yang kehabisan minyak. Sekarang dah jumpa seorang yang begitu. Mengapa tak nak tolong? Mengapa pilih kulit dan bulu?

Selepas persoalan ini berlegar-legar di kepala, Pak Ngah terus berhenti. "Memang aku ni biased!".

Maka Pak Ngah pun berhentilah jauh ke depan lebih kurang 50 meter dari lelaki Cina yang sedang mengah menolak motosikalnya itu. Bila dia menghampiri Pak Ngah kelihatan dia seperti tertanya-tanya apa yang Pak Ngah tunggu.

"Apa pasal towkey?"
"Minyak habis lo"
"Tak apa, biar saya tolong. Letak motosikal lu sebelah saya punya motosikal"
"Jangan susah-susah. Saya boleh tolak sampai itu minyak stesen"
"Eh banyak jauh towkey. Tak apa saya tolong"

Pak Ngah yakin tentu dia berasa hairan dan mungkin sedikit takut dengan gelagat empatik Pak Ngah tu. Tapi dia tidak menolak untuk dibantu.

Seperti Firdaus, Pak Ngah mula mengaplikasikan konsep fizik itu. Tak pernah buat perkara itu sebelum ini cuma andaian yang Pak Ngah boleh melakukannya seperti Firdaus. Hembusan bermula.

Hembusan pertama tidak menunjukkan sebarang pergerakan petrol dalam salur getah itu. Kedua pun sama. Ketiga, naik sikit. Keempat petrol tu turun balik ke tangki motosikal Pak Ngah. Kelima naik balik sikit. Ke enam, jadi balik macam hembusan keempat. Letihlah macam ni! Pipi rasa macam nak kembang! Baju dah basah dengan peluh lebih teruk daripada Firdaus.

Towkey hanya mampu melihat dengan harapan dan perasaan belas kasihan.

"Tak boleh, tak apalah. Saya boleh tolak"
"Jangan towkey. Itu stesen minyak banyak jauh"

Namun sapaan towkey itu membuat Pak Ngah lebih bersemangat nak menghembus lebih kuat. Tapi apakan daya. Setiap hembusan semakin lemah dan tak mampu menolak petrol itu ke tangkinya. Macam mana Firdaus buat, ya?!

Akhirnya Pak Ngah gave up. Memang dugaan. Dulu nak tolong sangat tak ada pulak orang yang boleh ditolong. Sekarang dah ada orang yang boleh ditolong, tak boleh pulak nak ditolong. Macam mana ni?

"Towkey tunggu sekejap, boleh?"

Pak Ngah menung sekejap. "Cara yang terbaik untuk aku tolong towkey ni ialah dengan menyedut petrol tu ke dalam sebuah bekas. Lepas tu terus tuang petrol tu ke dalam tangki dia. Tapi di mana nak cari bekas tu?"

Cari punya cari, nasib baiklah ada pulak tin coca cola kosong yang dah kering di tepi jalan tu. Mungkin dibuang oleh orang dalam kenderaan yang lalu di situ. Hah! Buang sampah merata-rata pun dapat pahala!

Pak Ngah sedut petrol dari tangki minyak C70 tu. Bila penuh terus dituangkan ke dalam tangki motosikal towkey tu.

"OK towkey. Cuba start".

Vrooom dan Pak Ngah segera beredar dari situ seperti Firdaus. Banggalah tu kot! Puas hati dapat tolong orang!

Selepas peristiwa itu Pak Ngah tidak lagi terjumpa sesiapa yang kehabisan minyak semasa menunggang C70 itu. Memang Allah SWT mahu menguji Pak Ngah agaknya.

Walaubagaimana pun, suatu masa nanti jika kamu kehabisan minyak semasa menunggang motosikal janganlah terperanjat jika orang yang menolong kamu itu ialah seorang towkey Cina! Kerana EMPATI MEMANG BERJANGKIT!



5 comments:

  1. Hmmm yer2 je abah ni boleh ingat lagi name org yg tolong abah tu..hehehe

    ReplyDelete
  2. Ajib, siapa yang boleh lupa orang yang membantunya ketika dia sangat memerlukan bantuan? Abah yakin Ajib masih ingat nama orang yang membantu Ajib ketika Ajib berdepan dengan kesusahan dan perlukan bantuan ketika itu. Betul tak? Take real care of yourself, son. Pray a lot for me and all in the family.

    ReplyDelete
  3. aku akui memang abangku ini orang yang prihatin dengan kesusahan orang lain..walaupun dia sendiri susah kadang2. aku sebenarnya sangat terharu dengan pertolongannya ketika aku berhadapan dengan kesukaran..semoga Allah sentiasa merahmati abangku dengan kesejahteraan hidup sekeluarga didunia dan akhirat amin....

    ReplyDelete
  4. semoga aku dijangkiti penyakit empatik ini..amin..

    ReplyDelete
  5. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete